بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Surah Al-Fatihah (سورة الفاتحة) – Pembukaan – surah yang diturunkan di Makkah dan diturunkan selepas Surah Al-Muddathir. Surah ini mempunyai 7 ayat dan inilah surah pertama yang diturunkan lengkap keseluruhan ayat bagi sebuah surah dan termasuk dalam golongan surah Makkiyyah.
Surah ini dinamakan Al-Fatihah (Pembukaan) kerana ia dijadikan sebagai pembuka dan permulaan Al-Quran. Surah ini juga dinamakan Ummul Quran (ام القــرآن – Ibu Quran) atau Ummul Kitaab (ام الكتاب – Ibu Kitab) kerana ia merupakan ibu atau induk kepada semua isi Al-Quran dan menjadi inti sari dari kandungan Al-Quran itu sendiri. Surah ini turut dinamakan As-Sab’ul Matsaani yang bermaksud tujuh yang berulang-ulang kerana ayat ini diulang-ulang bagi setiap solat.
Al-Fatihah adalah Pembuka Al-Kitab yang diturunkan dari Perbendaharaan di bawah Arays dan ia merupakan ‘doa’ yang paling mustajab.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seutama-utama Al-Quran adalah ‘Alhamdulillahi Rabbil Alamin.’ (Hadis riwayat Hakim dan Baihaqi)
Jika diwiridkan dengan khusyuk dan tawaduk, fadhilatnya adalah seperti khatam Al-Quran. Rasulullah SAW bersabda: “Membaca sekali Al-Fatihah, pahalanya seperti membaca sepertiga Al-Quran.”
Rasulullah SAW juga bersabda: “Surah Al-Fatihah adalah untuk apa ia dimaksudkan dalam bacaannya.” Dan “Fatihah itu pembukaan maksud bagi orang-orang mukmin.”
Diriwayatkan dari Syeikh Muhyiddin Ibnul Arabi di dalam kitab ‘Qaddasallaahusirrahu’:
“Sesiapa yang mempunyai maksud, sebaiknya ia membaca surah Al-Fatihah sebanyak 40 kali selepas solat Ba’diyah Maghrib, kemudian sampaikanlah permohonan hajatnya itu kepada Allah SWT.”
1. Membaca surat Al-Fatihah mendapat pahala seperti membaca sepertiga Al Quran .2. Setiap satu ayat dari Al-Fatihah menjadi penutup satu pintu neraka.3. Orang yang membaca Al-Fatihah seolah ia telah membaca kitab taurat, injil, zabur, Al Quran, suhuf idris As. dan suhuf Ibrahim As. sebanyak 7 kali.
4. Orang yang membaca Al-Fatihah seolah olah ia telah sedekahkan emas di jalan Allah SWT.
5. Amalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwudhu ‘ dan ditiupkan pada air lalu diminum selama tujuh hari. Insya Allah akan mudah memperoleh ilmu pengetahuan, di samping itu dapat membersihkan hati dari fikiran yang rosak.
6. Sesiapa membaca Al-Fatihah berserta Bismillah diantara Solat Sunat Subuh dan Fardhu Subuh dengan istiqamah, maka jika ia inginkan pangkat terkabullah ia dan kalau ia fakir maka akan kaya serta jika ia ada hutang maka akan mampu membayarnya dan kalau ia sakit maka akan sembuh serta kalau ia punya anak maka anaknya itu menjadi anak yang soleh, berkat surah Al-Fatihah.
7. Amalkan membaca Al-Fatihah saat hendak tidur, diikuti membaca Surah Al – Ikhlas tiga kali, Surah Al -Falaq dan Surah An – Nas , insya – Allah akan aman tentram dan terjauh dari gangguan setan.
8. Sesiapa mengamalkan bacaan Al-Fatihah sebanyak 20 kali setiap selesai solat fardhu lima waktu, maka Allah SWT luaskan rezekinya, baiki akhlaknya, mudahkan urusannya, hilangkan kesusahannya, anugerahkan apa yang diimpikan, dapat berbagai berkat dan kemuliaan, jadikan ia berwibawa, berpangkat luhur, penghidupan baik dan anak-anaknya pula terlindung dari kemudharatan dan kerosakan serta dianugerahkan kebahagiaan dan sebagainya.
9. Untuk membuka pintu rezeki yang luas dan mempermudah segala urusan hidup serta terhindar dari segala kesulitan, amalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali saat makan sahur malam. Insya Allah akan dimakbulkan Allah s.w.t.
10. Sesetengah ulama mengesyorkan membaca Al-Fatihah sebanyak 40 kali setiap kali selesai solat Maghrib dan solat sunat. Insya Allah hajatnya akan dikabulkan.
11. Sesiapa yang membaca ‘Al-Fatihah’ 1 kali di waktu hendak tidur, Surah ‘Al-Ikhlas’ sebanyak 3 kali dan ‘Mu’awwidzatain’ (Surah Al-Falaq dan surah An-Nas) 1 kali, sebelum tidur. Insya Allah maka ia akan terpelihara dan selamat daripada segala perkara dan ancaman seperti mimpi buruk, gangguan syaitan, kecurian, kebakaran dan malapetaka, selain daripada ajal.
Surah Al-Fatihah juga berkhasiat sebagai penyembuh segala penyakit rohani dan jasmani.
Rasullullah SAW bersabda: “Fatihatul kitab (surah al fatihah) adalah ubat bagi segala racun”
1. Mengubati Segala Penyakit
a. Baca Surah Al-Fatihah sebanyak 40 kali pada sebaldi air, kemudian air itu disapukan merata pada kedua belah tangan, kedua kaki, muka, kepala dan seluruh badan, lalu sebahagiannya diminum. Lakukanlah dengan kerap. Insya Allah penyakit yang dialami akan sembuh.
b. Surah Al-Fatihah itu ditulis dengan huruf-huruf Arab terpisah lalu dilarutkan dengan air suci dan diberi minum kepada pesakit, maka dengan iradah Allah SWT. ia akan sembuh.
2. Penawar Bisa & Racun
Ambil segelas air yang dicampur dengan sedikit garam lalu dibacakan surah Al-Fatihah sebanyak 7 kali pada air itu. Kemudian berilah orang yang disengat binatang berbisa (lipan, kala gengking, tebuan) itu minum dan usapkan sedikit di bahagian sengatan. Insya Allah akan tawar racun di dalam badan dan segera sembuh.
3. Menghilangkan Sifat Lupa
Tulislah surah Al-Fatihah dengan huruf Arab pada bekas seperti piring putih yang bersih lagi suci dan dilarutkan dengan air zam-zam / mineral lalu diberi minum pada orang yang pelupa. Insya Allah akan hilang sifat pelupanya
4. Mengubati Sakit Gigi
a. Mengubati sakit gigi dan lain-lain: Bagi diri sendiri. Letakkan jari pada tempat yang sakit lalu membaca Al-Fatihah dan berdoa sebanyak 7 kali:
“Ya Allah! Hilangkan keburukan dan kekejian yang ada padaku dengan doa Nabi-Mu yang jujur (al- Amin) dan tetap disisi-Mu”.
b. Mengubati penyakit gigi orang lain: selesai membaca Al-Fatihah, maka berdoalah 7 kali:
“Ya Allah! Hilangkan daripada orang ini keburukan dan kekejian yang daku dapati dengan doa Nabi-Mu yang jujur (al- Amin) dan tetap disisi-Mu”.
5. Penyembuh Penyakit Mata
a. Baca surah ini 41 kali selepas solat Subuh kepada orang yang berpenyakit mata. Kemudian usapkanlah ke mata pesakit dengan sedikit air liur. Insya Allah akan sembuh dengan berkah yang ada pada surah al Fatihah ini.
b. Sabda Nabi Muhammad SAW; “Sesiapa yang ingin menyembuhkan kelemahan pandangannya (kabur/rabun) maka hendaklah dilakukan:
· Memandang bulan pada awal bulan, jika tidak kelihatan atau terhalang oleh awan dan lain-lain hal, lakukan pada malam kedua, juga tidak dapat, cuba pada malam ketiga atau begitu seterusnya hingga nampak kelihatan bulan itu.
· Apabila telah kelihatan, hendaklah ia menyapukan tangan kanannya ke mata dengan membaca Al-Fatihah sebanyak 10 kali.
· Sesudah itu bacakan doa berikut sebanyak 7 kali :
“Al-Fatihah itu menjadi ubat tiap-tiap penyakit dengan Rahmat-Mu, ya Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.”
· Lalu mengucapkan “Yaa Rabbi” sebanyak 5 kali.
· Terakhir bacakan juga doa di bawah sebanyak 1 kali:
“Ya Allah! Sembuhkanlah, Dikaulah yang menyembuhkan, Ya Allah! Sihatkanlah, Dikaulah yang menyihatkan”
No comments:
Post a Comment