Tuesday, January 11, 2022

Hikmah dan Kelebihan Surah Al-Fatihah sebagai penunjuk jalan

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ


Surah Al-Fatihah

🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼
Sesungguhnya tujuan kita beribadat adalah untuk memanifestasikan dan melestarikan rasa perhambaan padaNya dan mendapatkan keredhaanNya. Ikhlaskanlah hati , bukan hanya untuk dunia atau apa jua balasan yang menjadi matlamatnya. Anggaplah dengan rahmatnya Allah mempermudahkan perjalanan kita menujuNya. In Sha Allah.
-KS-
🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼

Surah ini diturunkan di Makkah selepas Surah Al-Muddathir. Hebatnya surah ini,
dinamakan Ummul Quran (ام القــرآن - Ibu Quran) atau Ummul Kitaab (ام الكتاب - Ibu Kitab) kerana ia merupakan ibu atau induk kepada semua isi al-Quran dan menjadi inti sari dari kandungan al-Quran itu sendiri..

A. Kandungan umum surah Al-Fatihah:

Keimanan: beriman kepada Rab Yang Maha Esa terdapat dalam ayat 2 (ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ Segala puji bagi Allah, Rab semesta alam). Di sini dinyatakan dengan tegas bahawa segala puji dan syukur hanya ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala sebagai Pencipta dan sumber segala nikmat yang terdapat di alam ini.Antara nikmat itu ialah nikmat penciptaan, pendidikan dan penjagaan. Perkataan “Rabb” dalam kalimat “Rabbul ‘aalamin” meliputi erti pendidikan (tarbiah) dan pemeliharaan. Ini bermakna Allah Subhanahuwata’ala sentiasa mencipta, mendidik dan memelihara makhluk-Nya.Segala nikmat yang didapati oleh seorang hamba dalam dirinya sendiri dan dalam alam semesta, semuanya bersumberkan Allah Subhanahuwata’ala. Maka, Allah-lah Yang Maha Berkuasa di alam ini. Pendidikan, penjagaan dan pemeliharaan Allah-lah yang berlaku di seluruh alam ini.Keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala merupakan perkara paling asas. Keimanan dalam hati mesti dibuktikan dengan pengabdian hamba-Nya kepada-Nya semata-mata. Juga mesti dibuktikan dengan kebergantungan hamba-Nya kepada-Nya semata-mata. Ini ditegaskan dalam ayat 5 (إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.)Maksud ayat 4 (مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ , Yang menguasai hari pembalasan) ialah pada hari akhirat Allah-lah satu-satunya Yang Berkuasa. Segala sesuatu tunduk kepada kebesaran-Nya, mengharapkan nikmat-Nya dan takutkan siksa-Nya. Allah-lah Yang
 memberi pahala terhadap amalan baik dan memberi ancaman terhadap perbuatan buruk.

Hukum-hakam: Hukum-hakam dan segala peraturan Islam adalah jalan yang lurus. Inilah yang dimaksud daripada ayat (ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ , tunjukanlah kami jalan yang lurus - hidayah). Ia adalah jalan kebahagiaaan dan jalan yang wajib dilalui oleh manusia untuk memperolehi kebahagiaan dunia dan akhirat. Maksud “hidayah” di sini ialah hidayah yang menjadi sebab untuk mendapatkan keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat, samada yang berkaitan dengan keyakinan, akhlak atau peraturan.

Kisah-kisah tauladan: Yakni kisah para nabi, orang beriman dan orang terdahulu yang menentang Allah Subhanahuwata’ala.Sebahagian besar daripada ayat-ayat al-Quran memuatkan kisah para nabi dan kisah orang terdahulu yang menentang Allah Subhanahuwata’ala. Yang dimaksudkan dengan orang yang diberi nikmat dalam ayat (صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ , jalan orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka) ialah para nabi, para siddiqin (orang yang bersungguh-sungguh beriman), para syuhada (orang yang mati syahid) dan para salihin (orang yang soleh).Manakala golongan yang dimurkai ialah seperti kaum Yahudi dan golongan yang sesat ialah seperti kaum Nasrani, adalah sepertimana yang dimaksudkan dalam ayat (غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ , bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat).

B. Pengajaran lanjut:

Surah ini bermula dengan بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ . Maka, memulakan sesuatu dalam hidup ini dengan menyebut nama Allah Subhanahuwata’ala merupakan adab yang diwahyukan. Ini selaras dengan wahyu pertama: ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ , bacalah dengan (menyebut) nama Rabmu Yang Menciptakan.
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ , Segala puji bagi Allah, Rab alam semesta. Perasaan memuji Allah Subhanahuwata’ala adalah perasaan yang memenuhi hati mukmin apabila mengingati-Nya.
Ayat-ayat awal, khususnya ayat 1 hingga 4:ِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣ مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Rab alam semesta. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang menguasai di Hari Pembalasanadalah berkaitan langsung dengan permasalahan aqidah. Aqidah adalah asas bagi din Islam dan asas bagi kehidupan manusia. Kehidupan manusia tidak akan stabil di atas manhaj (sistem) Allah Subhanahuwata’ala tanpa wujudnya aqidah yang kuat dalam hati dan pemikiran manusia.
Tidak ada ibadah kecuali ditujukan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata dan tidak ada isti’anah (memohon pertolongan) kecuali kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja. Inilah tuntutan daripada ayat: إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧Tunjukilah kami jalan yang lurus. (Iaitu) jalan orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.Hanya Allah Subhanahuwata’ala satu-satunya Zat yang boleh memberi hidayah (petunjuk atau jalan) kepada hamba-Nya. Hanya Allah Subhanahuwata’ala pihak yang berhak diminta hidayah. Hanya hidayah yang benar daripada Allah Subhanahuwata’ala merupakan jaminan daripada-Nya untuk mendapatkan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Yakni hidayah sepertimana orang yang telah menerima nikmat memperolehinya, iaitu para nabi, para siddiqin (orang yang bersungguh-sungguh beriman), para syuhada (orang yang mati syahid) dan para salihin (orang yang soleh). Bukan jalan orang yang melakukan kezaliman atau orang yang berada dalam kesesatan.


C. Pelbagai hikmah buat mereka yang membaca dan mengamalkannya. 
Berikut merupakan tujuh hikmah yang diperoleh buat seorang mukmin yang membaca surah pertama Al-Quran ini.


1, Membaca Surat Al-Fatihah seolah mendapat pahala seperti membaca sepertiga Al Quran.

Seperti yang ramai sedia maklum, Al-Quran mengandungi 30 juzuk dan 604 muka surat. Hal ini membuatkan seseorang memerlukan tempoh yang panjang dalam menghabiskan membaca sebuah Al-Quran.

Dalam pada itu, nikmat yang diberikan Allah kepada umat Islam yang membaca Surah-Al Fatihah ini adalah pahala seakan membaca seperti Al-Quran. Hal ini turut menunjukkan betapa kasihnya Allah kepada umatnya dalam membolehkan umatnya memperoleh pahala yang banyak dengan hanya membaca surah yang sangat mudah untuk dibacakan dan dapat diselesaikan dalam masa yang singkat ini.

Malah, surah ini turut diwajibkan untuk dibaca sewaktu solat fardhu.

2. Setiap satu ayat dari Al-Fatihah menjadi penutup satu pintu neraka.

Bukan sahaja mengandungi ayat yang pendek, hikmah membaca surah Al-Fatihah ini adalah surah ini turut menjadi asbab menutup satu pintu neraka bagi setiap satu ayat yang dibaca.

Seperti yang ramai sedia maklum, manusia sememangnya tidak dapat lari daripada kesilapan. Hal in secara tidak langsung mendedahkan kelemahan diri sebagai manusia yang tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Membaca surah Al-Fatihah telah dijanjikan Allah dalam menutup satu pintu neraka buat pembacanya sekaligus meningkatkan peluang seorang mukmin dalam memasuki Syurga atas izin Allah.

3. Mukmin yang membaca Al-Fatihah seolah-olah telah sedekahkan emas di jalan Allah SWT

Sebuah lagi kebesaran surat Al-Fatihah dan kasih Allah kepada umatnya adalah Allah memberi ganjaran yang sangat besar kepada umatnya seolah sedekahkan emas di jalan Allah SWT dengan hanya membaca Al-Fatihah sahaja.

4. Memudahkan memperoleh ilmu pengetahuan serta membersihkan hati dan fikiran

Membaca Al-Fatihah turut boleh dijadikan amalan dalam memudahkan seseorang memperoleh ilmu pengetahun dalam membersihkan hati dari fikiran yang rosak dan terpesong.

Cara-caranya adalah dengan membaca surah Al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwudhu lalu ditiupkan pada air untuk diminum selama tujuh hari. Nescaya seseorang itu akan mudah untuk menerima ilmu pengetahuan serta mempunyai hati yang lapang dalam menerima buah fikiran yang baik.

5. Mengkabulkan hajat seseorang

Surah yang mudah dibaca ini turut disyorkan ulama buat mereka yang mempunyai sesuatu hajat yang ingin dikabulkan. Caranya adalah dengan membaca Surah Al-Fatihah sebanyak 40 kali setiap kali selepas selesai solat Maghrib dan solat sunat.

6. Pembuka pintu rezeki

Surah ini turut menjadi amalan buat mereka yang mahu pintu rezekinya dibuka dengan luas dan dipermudahkan segala urusan hidup serta terhindar daripada segala kesulitan. Amalan yang diajar adalah dengan membaca Surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali sewaktu makan sahur. Atas izin Allah, rezeki individu yang mengamalkannya akan dipermudahkan Allah.

7. Mengelakkan daripada sebarang gangguan sewaktu tidur

Khusus buat mereka yang mahu mengelakkan daripada diganggu sewaktu tidur dan ancaman mimpi buruk, disarankan untuk membaca Surah Al-Fatiah sebanyak satu kali sewaktu hendak tidur, diikuti dengan Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali dan Surah-AlFalapq serta Surah An-Nas sebanyak 1 kali sebelum tidur. Nescara individu tersebut akan terpelihara dan selamat daripada segala perkara dan ancaman seperti mimpi buruk, gangguan syaitan, kecurian, kebakaran dan malapetaka, selain daripada ajal.

Surah al-Fatihah ini melengkapi unsur-unsur pokok syariat Islam, kemudian dijelaskan perinciannya oleh ayat-ayat al-Quran yang 113 surah berikutnya. Persesuaian surah ini dengan surat al-Baqarah dan surah-surah sesudahnya ialah surah al-Fatihah merupakan titik-titik pembahasan yang akan diperinci dalam surah al-Baqarah dan surah-surah yang sesudahnya.

Di bahagian akhir surah al-Fatihah disebutkan mengenai permohonan hamba supaya diberi petunjuk oleh Tuhan ke jalan yang lurus, sedang surah al-Baqarah dimulai dengan petunjuk al-Kitab (al-Quran) yang cukup sempurna sebagai pedoman menuju jalan yang dimaksudkan itu.

Bacaan tambahan :

Kredit :

#hati #selawat #akhirzaman #puasa #kalbu

No comments:

Post a Comment

💐HATI CERMINAN DIRI💐

 ﷽ اَلسَّــلَامُے عَلَيْڪُمُے وَرَحْمَۃُ اللّٰہِ وَبَرَڪَاتُہُ ﷽ ﷻ بِسْـــــــمِے اللّٰہِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْـــــــمِے ﷻ ﷺ اَللّٰہُمَّے  ...